20 Mac 2010

SURAT SUKJ / CUTI HOL ALMARHUM

18 Mac 2010

MAJLIS SERAH KUNCI SA.TMN SRI SAUJANA


Murid SATSS1 dapat bangunan baru
---------------------------------------------
KOTA TINGGI 15 Mac - Seramai 1,165 murid dan 17 guru Sekolah Agama Taman Sri Saujana 1 (SATSS1) di sini bakal memulakan persekolahan di bangunan sendiri yang baru siap dibina mulai 22 Mac ini.
Murid-murid sekolah tersebut sebelum ini terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Saujana sementara menunggu bangunan sendiri SATSS1 siap.
Guru Besar SATSS1, Siti Fatonah Safee berkata, sekolah itu yang dibina di tapak seluas 1.5 hektar terletak bersebelahan Rumah Pangsa Taman Sri Saujana di sini.
Katanya, bangunan empat tingkat sekolah itu yang dibina dengan kos RM1.7 juta dilengkapi bilik darjah, kantin, surau, rumah sampah, tempat letak kereta, dataran dan kemudahan lain.
"Sekolah ini mempunyai 15 bilik darjah serta dilengkapi bilik pejabat dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan kunci sekolah itu di sini hari ini.
Pada majlis itu, wakil syarikat kontraktor dari Johor Corporation, Tahir Hamdan menyerahkan replika kunci kepada Ketua Sektor Pendaftaran Pembangunan Bahagian Pendidikan Agama negeri, Azahar Basiron.

Kunci tersebut kemudian diserahkan kepada Siti Fatonah sebagai simbolik penyerahan projek yang telah disiapkan kepada pihak pelanggan.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Agama Daerah Kota Tinggi, Ahmad Dhiauddin Salimin.
Bangunan tersebut disiapkan dalam tempoh setahun setengah.
Siti Fatonah berkata, pihaknya yakin segala kemudahan yang disediakan memberi keselesaan dan kebaikan kepada semua warga sekolah.
Jelasnya, pembinaan bangunan baru itu adalah untuk memenuhi keperluan pelajar yang semakin bertambah seiring dengan kepesatan pembangunan sekitarnya.
Beliau yang telah berkhidmat sebagai guru sejak 1978 berharap, masyarakat dan guru bersama-sama bertanggungjawab meningkatkan pendidikan dan keselamatan pelajar dan sekolah.
Sementara itu wakil penduduk, Nordin Salleh, 42, berkata, sebahagian besar murid yang akan bersekolah di sekolah itu adalah kanak-kanak dari kawasan sekitar taman perumahan di situ.
Menurutnya, penduduk khususnya ibu bapa amat gembira kerana anak-anak mereka mendapat kemudahan baru itu.
Keratan akhdar Utusan Malaysia 16/3/2010
Terima kasih UM
oleh: Farik Salleh.





diedit oleh: aliasharon